Tyrannus Online Seminary adalah sebuah institusi yang menyediakan pendidikan teologi secara dalam talian, khusus untuk golongan dewasa Kristian yang bekerja. Dengan kaedah pembelajaran yang fleksibel, seminari ini membolehkan para pelajar menyeimbangkan komitmen kerja dan pendidikan mereka.


Ditubuhkan pada 28 Oktober 2014 sebagai Tyrannus Online Seminary Sdn. Bhd., institusi ini kemudian menukar status kepada Tyrannus Online Seminary Bhd. pada 4 Mac 2015 dan didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Pengurusannya diuruskan oleh sebuah Lembaga Pengarah yang terdiri daripada enam ahli dari pelbagai denominasi Kristian. Pada tahun 2017, Dr. Anthony Loke dilantik sebagai pengetua perunding untuk memimpin pelancaran dan pengoperasian seminari ini.


Pada tahun 2024, Tyrannus Online Seminary telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Komuniti Digital. Kerjasama ini telah melancarkan sebuah platform dan institusi pendidikan seminari melalui Akademi Komuniti Digital, yang dikenali sebagai Institut Pemuridan TOS-KD.


Institut Pemuridan TOS-KD diterajui oleh Dr. Ng Kee Chuan, yang menjawat jawatan sebagai Dean of Institute Pemuridan TOS-KD. Di bawah kepimpinan Dr. Ng, institut ini berkomitmen untuk memanfaatkan teknologi digital dalam menyediakan pendidikan teologi yang lebih luas dan fleksibel. Platform ini bertujuan memudahkan akses kepada kursus dan latihan teologi berkualiti serta memperkukuhkan jaringan dan komuniti antara pelajar dan pengajar di seluruh dunia.


Tyrannus Online Seminary juga sedang dalam proses untuk mendapatkan akreditasi penuh daripada Asia Theological Association (ATA) bagi program diploma dan ijazah yang ditawarkan.

MISI

Institut Pemuridan TOS-KD berhasrat untuk melahirkan murid Kristus yang berkesan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, menjadikan Amanat Agung sebagai asas, amalan, dan matlamat utama mereka.

VISI

Kursus Sijil dan Diploma di Institut Pemuridan TOS-KD bertujuan untuk membentuk murid Kristus yang setia dan berkesan, sejajar dengan panggilan asas untuk mengikuti ajaran Kristus. Dengan tema utama 'Dimuridkan untuk Memuridkan,' kami menggunakan model penggandaan murid di mana peserta digalakkan untuk menjadi tutor dan fasilitator, menyebarkan ilmu yang diperoleh kepada orang lain di gereja, rakan-rakan, dan peserta lain. Kursus ini menawarkan latihan berasaskan Alkitab yang meliputi pembinaan asas iman yang teguh, amalan kasih yang sebenar, dan amanat harapan yang kukuh dalam menghadapi cabaran. Ini sesuai dengan ajaran Lukas 9:23 dan 1 Korintus 13:13, dan bertujuan untuk memperlengkapi setiap orang Kristian dengan pengetahuan praktikal dan spiritual.